Dalam sebuah hadis, diriwayatkan tentang seorang
penjahat yang ingin bertaubat. Ia masuk ke masjid.
Ketika itu Rasulullah S.A.W sedang mengimamkan solat.
Setelah menunaikan solat mereka berbincang-bincang dan
penjahat yang ingin bertaubat itu mendengar Rasulullah
S.A.W berkata, "Barangsiapa yang meninggalkan sesuatu
yang haram maka akan memperolehinya ketika sudah
halal."
Setelah Rasulullah S.A.W dan para sahabat bersurai,
pemuda itu turut meninggalkan masjid. Hatinya masih
ragu untuk mengutarakan taubatnya. Namun ucapan Nabi
tadi amat terkesan di hatinya.
Malam pun menjelang. Suasana yang sering menggoda
dirinya untuk melakukan keburukan. Tiba-tiba dia
berhasrat untuk merompak salah sebuah rumah yang
dihuni oleh seorang janda. Ternyata di rumah janda itu
terdapat banyak makanan yang enak dan pasti mengundang
selera. Ketika dia sedang memulakan suapannya
tiba-tiba dia teringat kata-kata Rasulullah S.A.W
siang tadi. Akhirnya dia tak jadi makan.
Tatkala beranjak ke bilik ke bilik lain, dia menumpai
perhiasan dan wang yang banyak. Dan ketika dia hendak
mengambilnya, sekali lagi dia teringat kata-kata
Rasulullah S.A.W. Lalu dia membatalkan niat jahatnya.
Setelah itu dia masuk pula ke sebuah bilik yang besar.
Didapatinya janda mu'minah itu sedang terbaring tidur
dengan lenanya. Apabila ternampak wajah janda yang
cantik dan rupawan itu, dia tergoda dan bermaksud
untuk melampiaskan nafsunya. Namun tiba-tiba dia
teringat kembali kata-kata Rasulullah S.A.W tadi.
Barangsiapa yang meninggalkan sesuatu yang haram ia
akan memperolehi barang tersebut ketika ia sudah
halal.
Akhirnya, sekali lagi beliau membatalkan niat
jahatnya. Lalu dia pergi meninggalkan rumah itu dengan
hati yang lega kerana mampu mengalahkan nafsunya.
Fajar mula menyinsing. Penjahat tadi pergi menunaikan
solat subuh di masjid. Kali ini dia bertekad, dia akan
bertaubat di hadapan Rasulullah S.A.W. Setelah solat,
beliau duduk menyendiri di satu sudut masjid, merenung
kembali peristiwa yang baru dialaminya malam tadi. Dan
menghitung betapa besar dosanya andai perbuatan itu
dilakukan.
Ketika matahari terbit datanglah seorang wanita ke
masjid dan menceritakan kepada Rasulullah S.A.W
kejadian semalam di rumahnya. Walaupun tiada barang
yang hilang namun beliau khuatirkalau-kalau pencuri
itu datang menyelidik semalam dan akan datang lagi
malam nanti. Wanita itu juga memohon kepada Rasulullah
S.A.W aga r sudilah mencarikan seorang yang sanggup
menjaga rumahnya. "Kenapa kau hidup sendirian?" tanya
Rasulullah S.A.W padanya. Wanita itu menjawab bahawa
suaminya telah meninggal dunia.
Rasulullah S.A.W mengarahkan pandangannya kepada
seorang yang sedang duduk menyendiri di satu sudut
masjid. Rasulullah S.A.W bertanya pada lelaki tersebut
(penjahat tadi), adakah beliau sudah beristeri?
Setelah Rasulullah S.A.W mengetahui bahawa lelaki itu
telah kematian isterinya, maka baginda menawarkannya
seorang calon isteri. Lelaki itu terdiam begitu juga
janda yang mengadu tadi. Mereka sama-sama malu. Tetapi
Rasulullah S.A.W yang arif kemudian mengikat kedua
insan itu menjadi suami isteri yang sah. Dan, pecahlah
tangis lelaki itu, lalu diceritakannya kepada
Rasulullah S.A.W peristiwa yang sebenarnya, dan bahawa
pencuri itu tidak lain adalah dirinya sendiri.
Wanita itu keluar dari masjid dari masjid diiringi
lelaki yang kini telah menjadi suaminya. Mereka
berjalan beriringan menuju rumah yang malam tadi
hampir dicerobohinya. Disana makanan-makanan yang enak
masih utuh seperti yang dilihatnya malam tadi. Bezanya
sekarang, makanan itu sudah tidak haram lagi. Maka
tanpa ragu-ragu makanan itu disantapnya.
Wang, emas dan perhiasan yang hendak dicuri, kini
sudah menjadi miliknya yang halal. Bahkan dia boleh
menggunakannya untuk berniaga, tanpa haram sedikitpun.
Sementara wanita cantik yang hampir dinodainya
semalam, kini benar-benar sudah menjadi isterinya...
berkat kemampuannya menahan nafsu syaitannya.
Lelaki itu berbisik sendiri dalam hati, "Benarlah
sabda Rasulullah S.A.W, barangsiapa meninggalkan yang
haram maka ia akan memperolehinya ketika ia sudah
menjadi halal."
Demikian indah Islam mengajar erti cinta. Cinta yang
tidak diliputi keraguan, cinta yang menimbulkan rasa
tenteram, cinta yang menumbuhkan kedamaian, cinta yang
menyuburkan keimanan dan ketaqwaan. Cinta yang apabila
kita meneguknya akan diperolehi kenikmatan yang lebih
dalam lagi.
Marilah kita menjenguk dan menyemak hati kita.
Masihkah ada cinta di sana?
Sudahkah kita mengemas cinta kita dengan kemasan Cinta
Rabbani dan memberi
label halal di atasnya? Dan sudahkah kita
menyingkirkan cinta syhwat yang
akan menjerumuskan kita dalam petaka yang
berpanjangan?
Wednesday, September 9, 2009
Lawanlah Nafsu Anda..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment